-Diceritakan oleh Ustaz Mohamad Din Yusoh
Utas Travel and Tours Sdn.Bhd.
Beberapa hari selepas kami berada di Mekah, saya mula
terdengar cerita-cerita daripada jemaah yang saya bawa tentang
hubungan dingin antara seorang ibu dengan anak lelaki dan
menantunya. Si ibu berusia 60-an sementara anak dan menantunya
akhir 30-an. Mereka bertiga ialah antara beberapa ratus jemaah
yang saya bawa untuk mengerjakan haji beberapa tahun lalu.
Saya diberitahu, hubungan dingin itu sebenarnya bermula sejak
di Malaysia lagi kerana wanita berkenaan kurang senang dengan
perangai menantunya yang sombong dan mengongkong suami. Kerana
hidup dalam kemewahan, menantunya itu tidak menghormati wanita
berkenaan selayaknya sebagai mentua, apatah lagi seperti ibunya
sendiri.
Seperkara lain yang wanita itu benar-benar kecewa ialah
biarpun anaknya itu ahli perniagaan berjaya, tetapi apabila
berhadapan dengan isteri, dia jarang membantah, apa lagi
mengangkat suara. Apa sahaja kehendak isteri diturutkan walaupun
kadangkala menyinggung perasaan ibu dan keluarganya.
Walaupun telah bertahun-tahun mendirikan rumahtangga, wanita
tersebut kesal kerana anak dan menantunya itu amat jarang balik
ke kampung. Apatah lagi hendak tidur disana. Kalau singgah pun
menantunya tidak mahu berada lama di rumahnya. Pelbagai alasan
diberi supaya mereka cepat berangkat pulang.
Si ibu tadi telah menasihatkan anaknya supaya menegur sikap
buruk isterinya itu, tetapi ia seperti tidak dilayan. Menantunya
terus bongkak dan sombong. Si ibu juga mengingatkan anaknya
jangan terlalu menurut kehendak isteri, namun dari sehari ker
sehari, anaknya itu tetap mengikut telunjuk isterinya.
Saya dimaklumkan juga, wanita tersebut berkecil hati kerana
menantunya tidak senang dengan kehadirannya di Mekah. Kalau
boleh dia mahu pergi ke tanah suci bersama suaminya sahaja
tetapi kerana lelaki berkenaan berkeras juga hendak membawa
ibunya sekali, dia terpaksa mengalah, namun dengan bibir yang
memuncung panjang dan kata-kata sinis serta sindiran tajam.
Kerana itulah sejak sampai ke Madinah dan Mekah hubungan dingin
itu menjadi semakin parah.
Oleh kerana mereka tinggal sebilik, si anak dapat melihat
sendiri di depan matanya hubungan buruk antara ibu dengan
isterinya. Pada mulanya dia tidak mengendahkan sangat kerana
kedua-duanya orang yang dia sayang. Tambahan pula dialah yang
membayar semua perbelanjaan mereka bertiga untuk ke Mekah.
Tetapi semakin hari perselisihan faham itu bertambah parah.
Hubungan ibu lelaki tadi dengan isterinya semakin buruk. Bukan
sekali mereka bertegang leher. Si ibu yang telah agak lanjut
usianya, pastilah hendak supaya sentiasa dilayan hati dan
perasaannya. Tetapi menantunya pula sombong dan panas baran. Dia
tidak suka melayan kehendak mentuanya itu yang baginya cerewet.
Akibat perselisihan faham, mereka tidak menegur sapa dan si
ibu pula enggan memakan makanan yang dimasak oleh menantunya itu.
Ini menyebabkan si anak tadi terpaksa membeli makanan diluar
untuk ibunya.
"Macam mana isteri kau nih Man. Emak pun tak dihormatnya.
Emak minta tolong sikit dia membebel. Emak nak itu dia tak layan,
nak ini, dia tak peduli, "rungut si ibu kepada anaknya.
"Abang tengok-tengoklah sikit emak abang tu. Cerewet,
nak itulah, nak inilah, macam-macam. Saya dah cakap jangan bawa
abang nak bawa juga. Hah...sekarang macam mana?" kata si
menantu pula dengan suara yang kasar.
Kedua-duanya memberikan alasan masing-masing hingga si anak
berasa amat tertekan. Hendak dimenangkan ibunya, khuatir isteri
bermasam muka. Hendak dimenangkan isteri, khuatir ibunya pula
terasa hati. Jadi sedaya yang boleh dia cuba memekakkan telinga
dan membutakan mata daripada pertelingkahan itu.
Perbalahan mereka tiga beranak terbawa-bawa keluar. Apabila
berjalan, duduk di meja makan atau bersiar-siar, masing-masing
membawa arah sendiri. Akhirnya masalah itu dihidu oleh
jemaah-jemaah lain. Mereka mula menjadi perhatian. Begitu juga
saya. Pelbagai cerita yang saya dengar tentang mereka.
Selepas lama berselisih faham, si anak sedikit demi sedikit
menyebelahi isterinya. Bagi lelaki itu, ibunya yang bersalah
kerana terlalu banyak meminta, cerewet dan terlalu ambil hati.
"Orang tua, macam tulah yang," kata lelaki itu
memujuk isterinya.
Suatu hari, si ibu memanggil anaknya. "Man, boleh tak
kau belikan sejadah untuk emak? Di kedai bawah tu aja, "katanya.
"Emak nak berapa?" soal anaknya. "Dalam 10 helai."
"Eh, nak buat apa banyak-banyak?" soal si anak lagi.
"Alaaah....nak buat kenangan, lebih tuh nak kasi pada
kawan-kawan dan orang kampung. Dapat juga pahala, kau pun dapat
pahala sama," kata si ibu dengan tersenyum.
Mendengar permintaan mentuanya itu, isteri si anak menarik
muka masam. Matanya merenung tajam wajah suaminya sebagai
isyarat "jangan layan!" Kemudian mukanya ditoleh ke
arah lain. Ekoran itu, si anak yang pada mulanya mahu menuruti
permintaan ibunya, kembali ke tempat duduk.
"Tak bolehlah mak. Saya penatlah. Nantilah bila nak
balik nanti saya belikan," jawab si anak.
Tetapi kata-kata itu menyebabkan ibunya berkecil hati. Dia
kecewa anak kesayangannya itu sanggup mengetepikan permintaannya,
sebaliknya menurut saja apa kata isteri.Lantas dia
berkata,"Kau nih Man,emak nak benda tu pun tak boleh beri.
Tapi kalau orang rumah kau, dah sampai penuh begnya pun kau nak
belikan barang lagi. Emak ni kau belikan sedikit aja. Sampai
hati kau Man."
Sepatutnya kata-kata ibu tadi diterima dengan keinsafan
tetapi tanpa disangka anaknya naik berang.Dengan meninggikan
suara, dia memarahi ibunya.
"Emak ni! Apa mak nak buat dengan barang-barang tu? Mak
kan dah tua, buat apa nak beli itu beli ni. Isteri saya adalah
sebab saya beri macam-macam, sampai penuh beg. Saya ada anak.
Saya nak belikan barang-barang untuk anak kami juga!"
katanya dengan muka masam mencuka. Dadanya turun naik menahan
marah. Isterinya pula tersenyum puas.
Si ibu terkejut, lantas berkata, "Sampai hati kau cakap
macam tu dengan emak. Aku ni emak kau, tak boleh kau tengking
herdik. Kalau sayang bini pun janganlah sampai emak sendiri
engkau ketepikan, engkau marah-marah, "katanya dengan
kecewa.
Si anak bertambah berang. "Emak tu dah tua,buatlah cara
tua! Jangan nak minta itu minta ini!"
Ibunya makin terkilan.Hatinya begitu hancur apabila anak yang
dipeliharanya sejak kecil dengan penuh kasih sayang sanggup
mengherdiknya sebegitu rupa. Tindakan anaknya yang sudah
melampau itu menyebabkan si ibu marah.
Sambil merenung tajam wajah anaknya, si ibu berkata,
"Man, Aku ni emak kau tau. Aku yang lahirkan engkau. Bila
masa isteri engkau beranakkan kau? Bila masa dia besarkan kau?
"Ingat Man, emaklah yang susah payah jaga kau, cari duit
nak besarkan kau, hantar ke sekolah sampai kau berjaya sekarang.
Tapi bila dah berjaya kau buat emak macam ni. Isteri kau
lebihkan daripada emak kau sendiri. Dengan isteri kau cakap
dengan baik tapi emak kau sendiri kau tengking-tengkingkan."
Dan dengan suara tegas si ibu tadi menyambung, "Kalau
beginilah sikap engkau Man, mulai hari ini emak haramkan susu
emak yang dulunya kau minum!"
Takdir Allah, serentak dengan kata-kata si ibu tadi,anaknya
terus jatuh terjelepok ke lantai. Bagai panahan petir, kata-kata
tersebut seolah-olah "membunuh" si anak tadi
serta-merta. Begitu cepat balasan Allah kepada hamba-Nya. Tanpa
menoleh kepada anaknya yang terbaring di lantai, si ibu tadi
bergegas keluar dari biliknya. Sambil berjalan dia mengesat air
matanya yang menitis dengan lengan bajunya. Dia tidak menoleh ke
belakang lagi. Sementara itu si anak pula terkulai dengan mata
terkebil-kebil. Badannya longlai dan lembik. Isterinya pula
menangis tersedu-sedu.
Sejak itu kesihatan si anak mula terganggu. Badannya seperti
sedang sakit, namun apabila diperiksa, doktor gagal mengesan apa
puncanya. Bagaimanapun, bala yang menimpanya itu masih gagal
menyedarkan si anak tadi. Dia dan isterinya tetap enggan
bertegur sapa dengan ibunya. Apa yang telah menimpanya langsung
tidak diambil iktibar. Bagi lelaki berkenaan, apa yang berlaku
bukanlah balasan Allah dan tubuhnya tidak sihat juga bukan satu
petunjuk daripada Allah tentang kesilapannya. Ia cuma kebetulan.
Tinggallah si ibu tadi memendam perasaan kesal dan kecewa.
Biarpun duduk sebilik dia diasingkan oleh anak dan menantunya
sendiri. Makanan dan minuman terpaksa dia pergi membelinya di
luar. Di bilik, dan apabila berada di luar dia lebih banyak
termenung dan menangis. Jika jemaah lain bertanya mengapa, atau
di mana anak dan menantunya, wanita tersebut tidak menjawab.
Sebaliknya terus menangis dan menangis.
Anak yang derhaka tidak akan terlepas daripada balasan Allah.
Kesihatan si anak tadi semakin buruk. Badan dan kakinya lemah
hingga dia tidak terdaya untuk berdiri sendiri. Akibatnya si
anak itu terpaksa dipapah dan diusung semasa wukuf, sai,
melontar jamrah, tawaf dan sebagainya. Badannya benar-benar
lemah untuk melakukan ibadah-ibadah tersebut.
Sementara itu, kerana tidak ada lagi tempat bergantung, si
ibu tadi menunaikan haji bersama-sama kami, dengan bantuan dan
pertolongan kami, bukan oleh anak dan menantunya. Masing-masing
menjauhkan diri dan tidak bertegur sapa seolah-olah tidak kenal
antara satu sama lain. Suatu hari saya menemui wanita tersebut.
"Mak aji...sudahlah tu. Maafkanlah anak makcik tu. Yang
lepas tu lepaslah, dia dah terima balasannya,"kata saya.
Wanita itu cuma mendiamkan diri. Dia menangis dan mengesat
air matanya yang gugur. Saya terus juga menasihatkannya, tapi
seperti tadi, wanita itu langsung tidak mahu menjawab barang
sepatah pun. Dia sebaliknya cuma menangis. Dari raut wajahnya
ternyata dia benar-benar kesal dengan sikap anak dan menantunya
hingga dia tidak sanggup lagi bercakap tentang mereka.
Selepas itu saya menemui anaknya pula.Lelaki berkenaan
seolah-olah terpinga-pinga dan tidak tahu apa yang telah berlaku
dan apa yang sepatutnya dibuat untuk menyelesaikan masalah
tersebut.Isterinya pula cuma mencebikkan bibir bila saya sebut
nama mentuanya.
Begitulah keadaan mereka hingga selesai musim haji dan
seterusnya kembali ke tanah air. Sejak itu saya tidak
menghubungi mereka lagi. Khabar yang saya terima memang
mengejutkan. Saya diberitahu, sejak pulang ke tanah air si anak
tadi sakit terus-menerus. Penyakitnya agak kronik dan gagal
diubati doktor.
Namun dalam tempoh itu hubungan mereka tiga beranak tetap
tidak berubah. Anak yang telah mendapat balasan Allah juga masih
tidak insaf dengan kesilapannya. Ibu pula yang telah terkilan
dengan sikap anaknya, tetap enggan memaafkannya. Sejak kembali
dari Mekah,mereka langsung tidak mengunjungi antara satu sama
lain.
Berita terakhir saya terima ialah lelaki terbabit telah
meninggal dunia selepas menderita sakit selama 10 tahun.
"TUHANMU TELAH MEMERINTAHKAN HENDAKLAH KAMU TIDAK
BERBAKTI KECUALI KEPADA-NYA DAN BERBUAT BAIK KEPADA ORANG TUA,
JIKA SALAH SATU ANTARA MEREKA ATAU KEDUA-DUANYA SUDAH SAMPAI
UMUR TUA DAN BERADA DALAM PEMELIHARANMU, MAKA JANGANLAH KAMU
KATAKAN KEPADA MEREKA ITU KATA-KATA "AH", DAN JANGAN
KAMU BENTAK MEREKA TETAPI KATAKANLAH KEPADA MEREKA BERDUA
KATA-KATA MULIA. DAN RENDAHKANLAH TERHADAP MEREKA BERDUA SAYAP
KERENDAHAN KERANA KASIH, DAN DOAKANLAH KEPADA TUHANMU: BERILAH
RAHMAT KEPADA MEREKA ITU SEBAGAIMANA MEREKA TELAH MEMELIHARAKU
PADA WAKTU AKU MASIH KECIL."
[Surah al-Israa' 7:23-24.]
Diriwayatkan oleh Hakim, sesungguhnya Rasulullah s.a.w
bersabda:
"SEMUA DOSA AKAN DITANGGUHKAN OLEH ALLAH SAMPAI HARI
KIAMAT NANTI APA SAHAJA YANG DIA KEHENDAKI KECUALI DERHAKA
KEPADA ORANG TUA, MAKA SESUNGGUHNYA ALLAH AKAN MENYEGERAKAN
KEPADA PELAKUNYA DALAM HIDUPNYA SEBELUM MENINGGAL DUNIA."