Imam Syafie bernama Muhammad bin Idris. Salasilah keturunan
beliau adalah Muhammad bin Idris bin Abbas bin Usman bin Syafie
bin Saib bin Abdul Yazid bin Hasyim bin Abdul Mutalib bin Abdul
Manaf. Keturunan beliau bertemu dengan keturunan Nabi Muhammad
SAW pada datuk Nabi Muhammad yang ketiga iaitu Abdul Manaf.
Beliau dilahirkan di Ghuzah nama sebuah kampung yang termasuk
daerah Palestin, pada bulan Rejab 150 H atau 767 Masehi. Tempat
asal ayah dan bonda beliau ialah di Kota Makkah. Imam Syafie
lahir di Palestin kerana ketika itu bondanya pergi ke daerah itu
demi keperluan penting. Namun di dalam perjalanan menuju
Palestin tersebut ayahnya meninggal dunia, sementara Imam Syafie
masih dalam kandungan ibunya. Setelah berumur dua tahun baru
Imam Syafie dan ibunya kembali ke Kota Makkah.
Ketika berumur 9 tahun beliau telah hafal Al-Quran 30 juz.
Umur 19 tahun telah mengerti isi kitab Al-Muwatha’, karangan
Imam Malik, tidak lama kemudian Al-Muwatha’ telah dihafalnya.
Kitab Al-Muwatha’ tersebut berisi hadith-hadith Rasulullah
SAW, yang dihimpun oleh Imam Malik.
Kerana kecerdasannya pada umur 15 tahun beliau telah
diizinkan memberi fatwa di hadapan masyarakat dan menjawat
sebagai guru besar ilmu hadith serta menjadi mufti dalam
Masjidil Haram di Makkah.
Ketika berumur 20 tahun beliau pergi belajar ke tempat Imam
Malik di Madinah, setelah itu beliau ke Irak, Parsi dan akhirnya
kembali ke Madinah. Dalam usia 29 tahun beliau pergi ke Yaman
untuk menuntut ilmu pengetahuan.
Tentang ketaatan beliau dalam beribadah kepada Allah
diceritakan bahawa setiap malam beliau membagi malam itu kepada
tiga bahagian. Sepertiga malam beliau gunakan kewajipan sebagai
manusia yang mempunyai keluarga, sepertiga malam untuk solat dan
zikir dan sepertiga lagi untuk tidur.
Ketika Imam Syafie di Yaman, beliau diangkat menjadi
setiausaha dan penulis istimewa Gabenor di Yaman, sekaligus
menjadi guru besar di sana. Kerana beliau termasuk orang
pendatang, secara tiba-tiba memangku jawatan yang tinggi, maka
ramai orang yang memfitnah beliau.
Ahli sejarah telah menceritakan bahawa waktu sultan Harun
Ar-Rasyid sedang marah terhadap kaum Syiah, sebab golongan
tersebut berusaha untuk meruntuhkan kekuasaan Abbasiyah, mereka
berhasrat mendirikan sebuah kerajaan Alawiyah iaitu keturunan
Saidina Ali bin Abi Talib. Kerana itu di mana kaum Syiah berada
mereka diburu dan dibunuh.
Suatu kali datang surat baginda Sultan dari Baghdad. Dalam
surat yang ditujukan kepada Wali negeri itu diberitahukan supaya
semua kaum Syiah ditangkap. Untuk pertama kali yang paling
penting adalah para pemimpinnya, jika pekerjaan penangkapan
telah selesai semua mereka akan dikirimkan ke Baghdad. Semuanya
harus dibelenggu dan dirantai. Imam Syafie juga ditangkap, sebab
di dalam surat tersebut bahawa Imam Syafie termasuk dalam
senarai para pemimpin Syiah.
Ketika peristiwa itu terjadi pada bulan Ramadhan, Imam Syafie
dibawa ke Baghdad dengan dirantai kedua belah tangannya. Dalam
keadaan dibelenggu itu para tahanan disuruh berjalan kaki mulai
dari Arab Selatan (Yaman) sampai ke Arab Utara (Baghdad), yang
menempuh perjalanan selama dua bulan. Sampai di Baghdad belenggu
belum dibuka, yang menyebabkan darah-darah hitam melekat pada
rantai-rantai yang mengikat tangan mereka.
Pada suatu malam pengadilan pun dimulai. Para tahanan satu
persatu masuk ke dalam bilik pemeriksaan. Setelah mereka ditanya
dengan beberapa kalimat, mereka dibunuh dengan memenggal leher
tahanan tersebut. Supaya darah yang keluar dari leher yang
dipotong itu tidak berserak ia dialas dengan kulit binatang yang
diberi nama dengan natha’.
Imam Syafie dalam keadaan tenang menunggu giliran, dengan
memohon keadilan kepada Allah SWT. Kemudian beliau dipanggil ke
hadapan baginda Sultan. Imam Syafie menyerahkan segalanya hanya
kepada Allah SWT. Dengan keadaan merangkak kerana kedua belah
kaki beliau diikat dengan rantai, Imam Syafie mengadap Sultan.
Semua para pembesar memperhatikan beliau.
“Assalamualaika, ya Amirul Mukminin wabarakatuh.”
Demikian ucapan salam beliau kepada baginda dengan tidak
disempurnakan iaitu “Warahmatullah.”
“Wa alaikassalam warahmatullah wabarakatuh.” Jawab
baginda. Kemudian baginda bertanya: “Mengapa engkau mengucap
salam dengan ucapan yang tidak diperintahkan oleh sunnah, dan
mengapa engkau berani berkata-kata dalam majlis ini sebelum
mendapat izin dari saya?”
Imam Syafie menjawab: “Tidak saya ucapkan kata
“Warahmatullah” kerana rahmat Allah itu terletak dalam hati
baginda sendiri.” Mendengar kata-kata itu hati baginda jadi
lembut. Kemudian Imam Syafie membaca surah An-Nur ayat 55 yang
bermaksud:
“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman
di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia
sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi,
sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka
berkuasa, dan sesungguhnya Dia akan meneguhkan bagi mereka agama
yang telah diredhaiNya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan
menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan
menjadi aman sentosa.” Setelah membaca ayat di atas kemudian
Imam Syafie berkata: “Demikianlah Allah telah menepati
janjiNya, kerana sekarang baginda telah menjadi khalifah,
jawapan salam baginda tadi membuat hati saya menjadi aman.”
Hati baginda menjadi bertambah lembut. Baginda Harun ar Rashid
bertanya kembali: “Kenapa engkau menyebarkan faham Syiah, dan
apa alasanmu untuk menolak tuduhan atas dirimu.” “Saya tidak
dapat menjawab pertanyaan baginda dengan baik bila saya masih
dirantai begini, jika belenggu ini dibuka Insya-Allah saya akan
menjawab dengan sempurna. Lalu baginda memerintahkan kepada
pengawal untuk membukakan belenggu yang mengikat lmam Syafie itu.
Setelah rantai yang membelenggu kedua kaki dan tangannya itu
dibuka, maka Imam Syafie duduk dengan baik kemudian membaca
surah Hujarat ayat 6:
“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang
fasiq yang membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti
agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa
mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas
perbuatanmu itu.” “Ya Amirul Mukminin, sesungguhnya berita
yang sampai kepada baginda itu adalah dusta belaka. Sesungguhnya
saya ini menjaga kehormatan Islam. Dan bagindalah yang berhak
memegang adab kitab Allah kerana baginda adalah putera bapa
saudara Rasulullah SAW iaitu Abbas. Kita sama-sama menghormati
keluarga Rasulullah. Maka kalau saya dituduh Syiah kerana saya
sayang dan cinta kepada Rasulullah dan keluarganya, maka demi
Allah, biarlah umat Islam sedunia ini menyaksikan bahawa saya
adalah Syiah. Dan tuan-tuan sendiri tentunya sayang dan cinta
kepada keluarga Rasulullah.” Demikian jawab Imam Syafie.
Baginda Harun ar Rasyid pun menekurkan kepalanya kemudian ia
berkata kepada Imam Syafie: “Mulai hari ini bergembiralah
engkau agar lenyaplah perselisihan antara kami dengan kamu,
kerana kami harus memelihara dan menghormati pengetahuanmu wahai
Imam Syafie.”
Demikianlah kehidupan Imam Syafie sebagai ulama besar, yang
tidak lepas dari berbagai cubaan serta seksaan dari pihak yang
tak mengerti akan hakikat kebenaran yang sesungguhnya. Hanya
ketabahan dan keimanan serta pengetahuanlah yang dapat
menghadapi setiap cubaan itu sebagai suatu ujian dari Allah SWT
yang harus kita hadapi.